بِسْــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْـــــمِ

Saturday, December 19, 2015

Doa Isteri Senjata Hebat

Hidup sebagai suami isteri memang ada pasang surutnya. Hari ini bergaduh esok sudah kembali ceria. Hari ini bermasam muka esok sudah boleh berborak-borak. Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Itulah rencah rumah tangga yang perlu diketahui kerana setiap dugaan yang datang hanyalah untuk menguji keimanan kedua-duanya. Sebagai isteri, tahukah anda bahawa doa isteri amat mustajab?


Sujud Bertafakur
Hati wanita mudah terguris jika dimarahi walaupun sedikit. Namun, hati mereka juga mudah sejuk apabila dipujuk oleh sang suami. Setiap pasangan memiliki tanggungjawab masing-masing. Biar pun berlainan itulah yang dinamakan saling melengkapi antara satu sama lain. Disebabkan itu, Allah sudah menetapkan jodoh anda dengan insane yang jauh berbeza dengan sikap anda supaya anda dapat mengenali erti sabar dan belajar untuk menerima kekurangan pasangan.
Islam menyarankan agar umatnya bercinta selepas nikah. Mengapa? Ini kerana hubungan yang halal ini lebih membawa kebahagiaan dan mendatangkan pahala yang banyak hingga tidak mampu dihitung. Wahai isteri, sesungguhnya anda adalah seorang yang rugi jika tidak menyayangi suami anda sepenuh hati. Perasaan cinta boleh dipupuk selagi mana suami anda menjalankan tugasnya dengan baik dan menjadi pemimpin yang soleh dalam keluarga.
Tahukah anda doa isteri amat mustajab apatah lagi jika wanita itu bermunajat seikhlas hati demi mencari reda Allah. Wanita lebih bersifat penyayang disebabkan itu doa mereka lebih makbul kerana Allah juga Ar-Rahim.
Gunakan kelebihan ini untuk anda bersujud dan bertafakur memuji nama-Nya serta rasul-Nya disamping berdoa meminta limpahan kebaikan, ketenangan, kebahagiaan serta keharmonian dalam rumah tangga yang dibina. Nescaya Allah mendengar setiap butir bicara anda pada-Nya. Setiap doa yang diiringi keikhlasan dan air mata penyesalan pasti akan dimakbulkan oleh-Nya.
Jangan terbit walau secumit rasa marah, benci dan dendam pada suami apabila anda berdoa kerana Allah tidak menyukai perkara mazmumah (keburukan). Doakan yang baik untuk suami. Jika suami anda seorang yang pemarah maka berdoalah agar Allah member petunjuk dan hidayah supaya suami anda berubah menjadi seorang yang penyayang.
Teman Jihad
Doa sahaja tidak cukup tanpa diselangi dengan usaha yang gigih. Jika anda rasa diri anda dalam kesusahan maka berdoalah setiap pagi sebelum suami melangkah ke tempat kerja agar Allah limpahi rezeki yang halal buat anda sekeluarga.
Suami yang keluar bekerja mencari nakfkah untuk isteri dan anak-anak adalah sama pengorbanannya seperti berjihad di jalan Allah. Selagi mana punca rezekinya halal dan niat yang baik untuk memberikan yang terbaik buat seisi keluarga maka setiap reda Allah akan bersama setiap langkahnya.
Oleh itu, selain doa yang tulus si isteri, sebagai orang kuat di sisi suami adalah baik anda bangun awal setiap pagi menyediakan sarapan, menggosok baju kerja suami serta menyediakan kelengkapan kerjanya. Tidakkah anda mahu pahala dengan kerja mudah? Seperti mana yang dikatakan di dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim ini yang bermaksud, “Barang siapa yang menyiapkan kelengkapan orang yang ingin pergi berjihad di jalan Allah maka ia pun dinilai seperti orang yang berjihad.”
Pimpin tangan suami anda ke muka pintu. Cium tangan dan wajahnya. Ukirkan senyuman di bibir mungilmu seraya berdoa, “ Semoga Allah memberikan ketaqwaan padamu, mengampuni dosamu dan melancarkan segala urusanmu di mana sahaja.” Pasti hati suami anda sejuk sepanjang hari walaupun menghadapi tekanan kerja.
Jangan hanya membaca artikel ini tetapi anda perlu iringi dengan perbuatan. Mulakan amalan ini hari ini hingga seterusnya. Bukan sahaja setiap perbuatan anda dan suami di bawah reda-Nya tetapi kedua-duanya akan lebih lapang dada dan tersenyum setiap masa.
Tidak lupa juga iringi doa kalian dengan melakukan solat sunat dhuha sememangnya terbukti sebagai jalan membuka rezeki serta memudahkan urusan. Lakukannya oleh suami dan isteri pasti Allah akan membantu setiap hamba yang mengingati-Nya setiap masa.
Artikel ini dipetik dari Majalah Nur, tulisan Nor Hafizah Md Shah (2696)

No comments:

Post a Comment